Riwayat hidup Abdulrahman Ibrahim Ibn Sori

Beliau dilahirkan pada tahun 1762 di Timbo, Fouta Djallon (kini Guinea, Fouta Djallon). Beliau dikenali sebagai "Putera raja hamba" atau "Sang Putera raja". Beliau seorang Fulbe atau Fulani, (Fula) tanah Fouta Djallon. Pada tahun 1774, Ibrahim meninggalkan Futa Jalon untuk pergi belajar di Timbuktu, Mali. Ibrahim merupakan ketua salah satu ketumbukan tentera bapanya. Selepas menang dalam satu pertempuran dengan puak lain, beliau pulang dengan sejumlah kecil askar untuk melaporkan kepada bapanya, apabila beliau diserang hendap, ditawan dan dijual kepada pedagang hamba pada tahun 1788 dalam usia 26 tahun. Beliau dibeli oleh seorang pemilik ladang penanaman kapas di Natchez, Mississippi dan akhirnya menjadi mandur ladang penanaman Thomas Foster. Pada tahun 1794 beliau mengahwini Isabella, seorang lagi hamba Foster, dan akhirnya menjadi ketua bagi sebuah keluarga besar: lima orang anak lelaki dan empat orang anak perempuan.[1]

Seketika selepas itu Abd al-Rahman berpindah ke New Orleans. Dengan menggunakan pengetahuan penanaman kapas di Fouta Djallon, Abd al-Rahman melonjak ke kedudukan berkuasa ke atas ladang penanaman itu dan menjadi mandur de facto. Ini memberi peluang kepada beliau untuk menanam sayur sendiri dan menjualnya di pasar tempatan. Semasa tempoh inilah, dia bertemu dengan kenalan lama, Dr. John Cox, seorang pakar bedah Ireland yang berkhidmat di sebuah kapal Inggeris, dan menjadi orang kulit putih pertama yang sampai di Timbo setelah terdampar dari kapalnya dan jatuh sakit. Cox tinggal di pantai selama enam bulan dan dibawa tinggal dengan keluarga Abd al-Rahman. Cox merayu pada Foster supaya menjual kepadanya "Sang Putera" supaya beliau dapat kembali ke Afrika. Dr. Cox terus menerus mencari pembebasan Abd al-Rahman sehingga kematiannya pada 1829 namun sia-sia. Selepas kematian Cox, Abd al-Rahman meneruskan perjuangan itu.

Pada tahun 1826, Abd al-Rahman menulis surat kepada sanak saudaranya di Afrika. Seorang pengusaha akhbar tempatan, Andrew Marschalk yang pada asalnya dari New York, menghantar satu salinan kepada Senator Thomas Reed yang berada di situ pada ketika itu yang mengajukannya kepada Konsulat Amerika di Maghribi. Memandangkan Abd al-Rahman menulis dalam bahasa Arab, Marschalk dan kerajaan Amerika mengandaikan bahawa beliau adalah seorang Moor. Setelah Sultan Maghribi, Abderrahmane membaca surat itu, baginda meminta Presiden Adams dan Setiausaha Negara Henry Clay supaya membebaskan Abd al-Rahman Ibrahim. Pada tahun 1829, Thomas Foster bersetuju untuk membebaskan Abd al-Rahman tanpa bayaran dengan syarat bahawa Abd al-Rahman akan kembali ke Afrika dan tidak hidup di Amerika sebagai orang merdeka.

Sebelum meninggalkan Amerika, Abd al-Rahman dan isterinya pergi ke pelbagai negeri dan Washington. Beliau mengumpul sumbangan melalui surat khabar, penampilan peribadi, American Colonization Society dan ahli politik, untuk membebaskan keluarganya di Mississippi. Hal ini sampai ke pengetahuan Foster yang menganggap ini sebagai pelanggaran persetujuan. Tindakan dan pembebasan Abd al-Rahman juga digunakan untuk menentang Presiden John Quincy Adams oleh bakal presiden Andrew Jackson semasa pilihanraya presiden.

Selepas sepuluh bulan, Abd al-Rahman dan Isabella hanya memungut separuh daripada dana untuk membebaskan anak-anak mereka, dan sebaliknya bertolak ke Monrovia, Liberia tanpa anak-anak mereka. Abd al-Rahman Ibrahim hidup selama empat bulan sebelum beliau ditimpa demam panas dan meninggal dunia pada usia 67. Dia tidak berpeluang untuk melihat Fouta Djallon atau anak-anaknya untuk kali kedua.